Latest Updates

News & Events

Safety & Health Environment and Quality Day 2023

19th September 2023

KUALA LUMPUR - Lima projek pembinaan termasuk tiga milik kerajaan menerima anugerah pencapaian tertinggi berdasarkan tiga kategori penilaian sempena Hari Safety and Health, Environment and Quality (Hari SHEQ) 2023 anjuran Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

Tiga projek kerajaan itu ialah Pusat Kardiologi Hospital Serdang, Selangor bagi Sistem Penilaian Kualiti dalam Pembinaan (QLASSIC) yang dilaksanakan kontraktor, Nadi Cergas Sdn Bhd.

Projek Central Spine Road 3BC, Kelantan yang diuruskan IDX Multi Resources Sdn Bhd untuk Penilaian Keselamatan dan Kesihatan dalam Pembinaan (SHASSIC).

Projek Hospital Sungai Siput, Perak dengan kontraktor Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Bahagian Pembangunan pula berjaya meraih penilaian bagi Penarafan Hijau (MYCREST).

Dua lagi projek melibatkan sektor swasta iaitu Sunway Citrine Lakehomes, Iskandar Puteri, Johor yang dilaksanakan kontraktor, Kalsari Jaya Sdn Bhd bagi penilaian QLASSIC, manakala Vista Sentul Residences Kuala Lumpur oleh TCS Construction Sdn Bhd untuk SHASSIC.

Majlis penyampaian anugerah tersebut disempurnakan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Kuala Lumpur pada Selasa.

Menurut Nanta, pencapaian membanggakan dalam penilaian tersebut menunjukkan bahawa penggiat industri di negara ini berupaya melaksanakan projek pembinaan dengan menitikberatkan kualiti hasil kerja dan kelestarian alam sekitar.

Ujarnya, ia juga bagi memastikan semua garis panduan kesihatan dan keselamatan di tapak bina dipatuhi pihak kontraktor.

Original Source: https://www.sinarharian.com.my/article/279945/berita/nasional/5-projek-terima-anugerah-hari-sheq